Latar Belakang Pejabat Education Malaysia di Luar Negara
EM AUSTRALIA

Education Malaysia Australia (EMA) sebelum ini dikenali sebagai Jabatan Penuntut Malaysia Australia (JPMA) memulakan operasinya di Australia pada 6 April 1962 di sebuah pejabat yang disewa di Railway Square, Sydney CBD. Pejabat tersebut dibuka hanya selepas 6 tahun kerajaan Malaysia atau Persekutuan Tanah Melayu, menubuhkan pejabat Suruhanjayanya di Canberra pada 20 November 1956. Suruhanjaya di Canberra menjadi Suruhanjaya Tinggi apabila Persekutuan Tanah Melayu secara rasminya merdeka pada 31 Ogos 1957. Pada 1 Julai 1971, operasi MSDA telah dipindahkan ke 67 Victoria Road Bellevue Hill NSW 2023, sebuah banglo kediaman 3 tingkat, berikutan pembelian hartanah tersebut oleh Kerajaan Malaysia pada 25 Februari 1971. Pada 9 Julai 2010, JPMA telah melalui proses penjenamaan semula kepada EMA setelah mendapat persetujuan Jemaah Menteri Kabinet Malaysia. Ia merupakan sebuah organisasi kerjaan yang ditadbir oleh Bahagian Education Malaysia (BEM), Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Kini, EMA telah menetapkan lokasi ibu pejabatnya iaitu di No. 67, Victoria Road, Bellevue Hill, Sydney, NSW 2023 Australia. Selain daripada bangunan ibu pejabat di Sydney, EMA turut bertanggungjawab ke atas tiga (3) lagi hartanah milik Kerajaan Malaysia di Australia iaitu: 1. Dewan Malaysia Sydney - dirasmikan pada 28 Mei 1976 oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia pada masa itu, Tuan Yang Terutama Dr. Awang Hassan. 2. Dewan Malaysia Melbourne - dirasmikan pada 9 April 1987 oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran pada masa itu, YBhg. Dato' Yahya bin Abdul Wahab; dan 3. Dewan Malaysia Perth - dirasmikan pada 13 November 2014 oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan padamasa itu, YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin. Dewan Malaysia Australia ditubuhkan untuk memberi kemudahan penginapan dan bagi membantu penyelarasan aktiviti berpersatuan pelajar Malaysia di Australia.