Latar Belakang Pejabat Education Malaysia di Luar Negara
EM MESIR

Pada tahun 1964, urusan hal ehwal pelajar dikendalikan oleh seorang Atase Pendidikan di bawah Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK). Mulai tahun 1980, Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) telah diwujudkan di bawah pentadbiran Bahagian Pengurusan Pendidikan Luar Negara, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia. Entiti pendidikan ini berfungsi memberikan perkhidmatan dan membantu membangunkan kecemerlangan akademik dan sahsiah pelajar Malaysia di Republik Arab Mesir. Pada tahun 2011, JPMK telah dijenamakan semula kepada Education Malaysia Mesir (EMM) selaras dengan fungsinya yang diperluaskan bukan sekadar penyampaian perkhidmatan Kerajaan kepada para pelajar tetapi meliputi juga fungsi mempromosikan Malaysia sebagai hab pendidikan penting rantau Asia. Fungsi utama EMM adalah: 1. Sumber rujukan dan pengumpulan maklumat. 2. Pemasaran dan promosi pendidikan tinggi. 3. Kebajikan dan pembangunan pelajar. 4. Kecemerlangan akademik. 5. Pembangunan penyelidikan dan komersial. 6. Pengantarabangsaan. EMM mempunyai Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah (DMAK) yang dibina pada tahun 1960 dan dinaungi oleh KBMK. Lokasi DMAK sangat strategik kerana berhampiran dengan Universiti Al-Azhar dan Universiti Ain Sham.